Wednesday, December 8, 2010

PEMBUKAAN KUALA LUMPUR

Keluarga Sutan Naposo memudiki Sungai Kelang dan menemui sebuah tempat pertemuan 2 sungai yang merupakan tempat yang ideal bagi orang-orang Mandailing untuk membuka penempatan baru. Tempat tersebut merupakan tempat pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak. Kawasan begini dipanggil ‘muara’ dalam bahasa Mandailing. Jika kita tinjau dan kaji kembali, orang-orang Mandailing Julu sering memilih tempat pertemuan 2 buah sungai sebagai penempatan mereka.

‘Pala marsuo dohot hamu muara na patontang, di sima hamu mian, magabe, mauli, martua markaratan ma hamu sogot.’ Begitulah kata-kata Namora Pande Bosi, yang merupakan nenek-moyang kepada marga Lubis. (137) – Mangaraja Lelo Lubis (66) – Muhammad Arbain Lubis.

Ia bermaksud;

‘Bila bertemu dengan muara yang menjadi tempat pertemuan dua sungai (muara na patontang), maka di situlah kamu berkampung. Semoga kamu dan anak-cucu kamu kelak menjadi orang yang berguna dan mendapat rahmat dari Tuhan yang Maha Kuasa.’

Begitulah pesanan nenek-moyang orang-orang Mandailing Julu sebagai bekal dalam menempuh perjalanan baru yang jauh dan kehidupan baru yang tidak menentu. Kata-kata tersebut lebih merupakan kata-kata perpisahan yang mengharukan yang dianggap oleh orang-orang Mandailing sebagai petua atau amanat kehidupan.

Ini selaras dengan tabiat orang-orang Mandailing yang sangat gemar membuka penempatan baru di kawasan pertemuan 2 sungai. Secara turun-temurun, orang-orang Mandailing percaya di tempat pertemuan 2 sungai itu terdapat

a. punca rezeki yang mewah

b. pelbagai jenis ikan yang bermain di situ

c. banyak bahan-bahan galian seperti emas dan bijih timah yang mendak di dalam dasarnya

d. menjadi tempat pertemuan pedagang-pedagang dan penduduk-penduduk kampung kerana sungai pada masa dahulu menjadi jalan pengangkutan yang utama

‘The rivers and streams were the critical geographic features in the nineteenth century. They acted as avenues of communication; they were a means of transport; they provided water for wet-rice growing and tin-mining; and they were the sites of alluvial tin and gold.’ (6) – Tugby.

Ini terbukti di mana banyak kampung-kampung Mandailing di Tanah Melayu yang dibuka kemudiannya di tempat pertemuan 2 buah sungai seperti;

a. Kuala Lumpur atau Muara Bustak yang terletak di antara Sungai Kelang dan Sungai Gombak

b. Kampung Changkat Piatu yang terletak di antara Sungai Pinji dan Sungai Kinta

c. Kampung Gombak yang asal yang terletak di antara Sungai Mulia dan Sungai Gombak

d. Kampung Ampang (Kuala Ampang) yang terletak di antara Sungai Ampang dan Sungai Kelang

e. Kampung Damar Sara (kini Damansara) yang dibina di antara Sungai Damar Sara dan Sungai Kelang

f. Kampung Sungai Chincin yang terletak di antara Sungai Chincin dan Sungai Gombak

g. Kampung Ulu Slim yang asal yang terletak di antara Sungai Gelinting dan Sungai Slim

Malahan di Tanah Besar Sumatera juga terdapat banyak kampung-kampung orang-orang Mandailing yang dibuka di tempat pertemuan 2 buah sungai seperti;

a. Panyabungan yang terletak di antara Aek Batang Gadis dan Aek Singolot

b. Kota Nopan (Muara Patontangan) yang terletak di antara Aek Singengu dan Aek Singagir

c. Muara Pungkut (Huta Pungkut atau Muara Pardomuan) di tempat pertemuan Aek Batang Gadis dan Aek Batang Pungkut

d. Muara Soma di tempat pertemuan Aek Soma dan Aek Batang Natal

e. Muara Parlampungan di tempat pertemuan Aek Parlampungan dan Aek Batang Natal

f. Huta Raja di tempat pertemuan Aek Batang Bangko dan Aek Batang Rantau

Memandangkan pada masa itu tempat pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak masih belum didiami orang, maka keluarga Sutan Naposo mengambil keputusan untuk membuka penempatan baru di situ.

Adalah menjadi kelaziman bagi golongan bangsawan dan anak-anak raja Mandailing untuk mencari dan membuka penempatan baru mereka sendiri. Mengikut adat orang-orang Mandailing, hanya anak sulung dan anak bongsu sahaja yang berhak menerima warisan pusaka termasuklah menjadi pemilik kampung warisan mereka. Manakala putera-putera yang tengah biasanya akan keluar merantau dari kampung asal mereka untuk membuka perkampungan baru atau ‘harajaon’ dalam bahasa Mandailing.

Begitulah sikap keluarga Sutan Naposo yang tidak mahu tunduk kepada kekejaman kekuasaan Bugis lalu memilih tempat pertemuan 2 buah sungai sebagai ‘harajaon’ yang baru yang tidak diganggugugat oleh bangsawan-bangsawan Bugis atau mana-mana peraturan raja-raja Bugis. Pada masa itu orang-orang Bugis hanya tinggal di kuala-kuala sungai di tepi-tepi pantai. Dengan itu Sutan Naposo dan keluarganya terselamat dari sebarang ancaman atau gangguan anak-anak raja Bugis.

‘During that century there had been a tradition of antagonism between the Bugis rulers of the coast and the Sumatran settlers in the interior.’ (28) – Gullick 2000.

Pada awal abad ke 19 di negeri Selangor, terdapat ramai orang Bugis yang tinggal dan mendiami di kawasan muara-muara sungai di persisiran pantai. Ini terbukti apabila orang-orang Bugis di Selangor membina kampung mereka di muara-muara sungai di tepi laut seperti;

a. Kuala Bernam di muara Sungai Bernam

b. Kuala Selangor di muara Sungai Selangor

c. Kuala Jeram di muara Sungai Jeram

d. Kuala Kelang di muara Sungai Kelang

e. Kuala Langat di muara Sungai Langat

f. Kuala Sepang di muara Sungai Sepang

g. Kuala Linggi di muara Sungai Linggi

(54) – Buyong Adil 1971.

Bersesuaian dengan tradisi dan kelaziman orang-orang Bugis yang bergantung rapat dengan kehidupan di laut, maka itu mereka lebih gemar mendiami kuala-kuala sungai di tepi pantai. Secara turun-temurun, orang-orang Bugis sememangnya terkenal sebagai pelaut yang handal dan dikenali sebagai lanun. Mereka suka berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Lantaran itu penempatan mereka biasanya terletak di muara sungai ke laut. Sesetengah daripada mereka menjadi tentera upahan raja-raja Melayu di dalam persengketaan merebut takhta khususnya di Johor, Pahang, Kedah dan Perak.

‘The Sultan of Selangor and the aristocracy of the coast towns were of Bugis descent.’ (26) – Middlebrook dan Gullick.

Ini sama sekali berbeza dengan sikap dan tabiat orang-orang Mandailing yang secara turun-temurunnya bertani dan mendulang emas di Aek Batang Gadis di Tanah Besar Sumatera. Secara tradisinya orang-orang Mandailing lebih suka hidup menetap dengan hasil pendapatan yang tetap, sama ada hasil dari aktiviti pertanian, aktiviti perlombongan bijih timah serta mengambil hasil-hasil hutan.

Ini selaras dengan polarisasi kependudukan di kawasan pendalaman Selangor pada masa itu di mana kawasan-kawasan seperti di;

a. Ulu Langat iaitu Cheras, Kajang, Bangi

b. Ulu Kelang iaitu Ampang, Gombak, Selayang

c. Ulu Selangor iaitu Rawang, Ulu Yam, Kuala Kubu Lama

didiami oleh ramai orang Sumatera khasnya orang-orang Mandailing dan Rawa. (54) – Buyong Adil 1971.

‘The Malays in the interior were Sumatrans (Rawas or Mandailings).’ (26) – Middlebrook dan Gullick.

Justeru itu jelas bahawa orang-orang Bugis tidak pernah menduduki kawasan pendalaman Selangor secara besar-besaran. Apatah lagi untuk tinggal di hulu Sungai Kelang. Mereka menguasai muara-muara sungai termasuklah muara Sungai Kelang tetapi Kuala Lumpur dikuasai oleh orang-orang Mandailing.

Pada masa yang sama, keluarga Sutan Naposo pada masa itu telah mengambil kesempatan untuk menjalankan perniagaan runcit dan barang-barang keperluan seperti kain yang dibeli dari Kuala Kelang dan dibawa ke Kuala Lumpur.

Gambar 1 – Pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak

yang disebut sebagai Kuala Lumpur


Gambar 2 – Tapak asal rumah Sutan Naposo @ Sutan Puasa

yang kini terletak di Jalan Melayu, Kuala Lumpur

Hasil dari keuntungan perniagaan ini, keluarga Sutan Naposo memulakan usaha melombong bijih timah di tempat pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak sehingga air kedua-dua buah sungai tersebut menjadi keruh dan berlumpur.

‘A Mandailing trader called Sutan Puasa...’ (19) - Middlebrook dan Gullick.

Dari situlah asal-mulanya nama Kuala Lumpur ataupun Muara Bustak dalam bahasa Mandailing yang bermaksud kuala yang berlumpur. Keluarga Sutan Naposo sendiri tinggal di Muara Bustak. Pada hari ini tapak rumah Sutan Naposo itu terletak di Jalan Melayu dekat Masjid India di Kuala Lumpur.

W.S. CRACROFT MELAWAT KUALA LUMPUR PADA 1818

Pada 23 Ogos 1818, pihak Inggeris di Pulau Pinang telah menghantar W.S. Cracroft untuk mengadap Sultan Ibrahim yang merupakan Sultan Selangor pada masa itu. Dalam pertemuan itu, pihak Inggeris telah membuat perjanjian dengan Sultan Ibrahim bahawa

a. semua rakyat Inggeris atau mana-mana pihak di bawah perlindungan Inggeris mestilah dibenarkan untuk berniaga di negeri Selangor dan jajahan takluknya dan begitu juga sebaliknya

b. semua hak untuk memborong dan memajak perdagangan di Selangor tidak boleh diberikan kepada kuasa asing selain daripada Inggeris

c. negeri Selangor tidak dibenarkan membuat sebarang perjajian dengan kuasa asing selain daripada Inggeris. Jika ada perjanjian sebelum itu, maka ia dianggap sebagai batal

Pada masa yang sama, Inggeris juga berjanji akan membeli hasil bijih timah di Selangor sekurang-kurangnya 1500 pikul setahun dengan harga $43.00 sebahara. Sejak itulah Inggeris dan Sultan Ibrahim sering bertukar-tukar utusan dan hadiah.

Maka jelas jauh sebelum kedatangan Inggeris secara ketenteraan pada tahun 1871, pihak penjajah Inggeris telah lama menerapkan pengaruh mereka di Selangor dan menundukkan kekuasaan raja-raja tempatan. Yang anehnya pihak yang membenarkan penjajahan tersebut adalah Sultan Selangor sendiri.

Selepas perjanjian Inggeris dan Selangor tersebut, W.S. Cracroft telah melawat beberapa buah tempat di pendalaman negeri Selangor dan mendapati kebanyakan tempat tersebut didiami oleh orang-orang Sumatera khususnya orang-orang Mandailing dan Rawa. Tetapi yang paling menarik sekali W.S. Cracroft telah sampai ke satu tempat yang dikenali sebagai ‘Lumpur’ di hulu Sungai Kelang. Penduduk di situ sudah pasti orang-orang Mandailing.

Menurut W.S. Cracroft, Lumpur yang dimaksudkan itu mengeluarkan banyak hasil timah. Penjumpaan Cracroft mengenai Lumpur itu selaras dengan wujudnya Kuala Lumpur atau Muara Bustak yang telah diasaskan oleh keluarga Sutan Naposo pada tahun 1818. (33) – Buyong Adil 1971.

LAPORAN JOHN ANDERSON 1824 MENGESAHKAN KEWUJUDAN KUALA LUMPUR

John Anderson adalah seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk membuat laporan tentang keadaan di negeri-negeri di barat Tanah Melayu. Pada tahun 1824, laporan John Anderson yang bertajuk ‘Political and Commercial Considerations Relative to the Malayan Peninsula, and the British Settlements in the Straits of Malacca’ yang diterbitkan oleh Government Press di Pulau Pinang siap dicetak.

Laporan John Anderson menyatakan bahawa majoriti orang-orang Melayu pada masa itu tinggal di kuala-kuala sungai besar di tepi-tepi laut seperti kuala Sungai Bernam, Sungai Selangor, Sungai Jeram, Sungai Kelang, Sungai Langat, Sungai Sepang, Sungai Lukut dan Sungai Linggi. Manakala di kawasan pendalaman pula didiami oleh orang-orang dari Sumatera khususnya orang-orang Mandailing dan Rawa. (36) – Buyong Adil 1971.

Setiap kuala sungai di persisiran pantai tersebut terdapat pula kediaman pembesar-pembesar Selangor yang memerintah di daerah sekelilingnya di bawah takluk Sultan Ibrahim yang merupakan Sultan Selangor pada masa itu yang bersemayam di Kuala Selangor. Bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Kelang dan Sungai Selangor setiap tahun adalah berjumlah lebih kurang 2000 pikul. Kelang pada masa itu terletak 20 batu dari kuala Sungai Kelang. Pada tahun 1822, terdapat lebih kurang 1500 orang bermastautin di sana.

‘Anderson had visited...around 1818 and lists Sungei Lumpor as the settlement furthest up the Klang River towards the central range, and an important centre of tin production.’ (7) – Gullick 2000.

Di hulu Sungai Kelang terdapat sebuah tempat yang dipanggil sebagai ‘Lumpur’ sempena air sungai yang dipenuhi dengan lumpur di sana akibat dari kegiatan perlombongan bijih timah yang rancak. Ini sekaligus mengukuhkan lagi kewujudan Kuala Lumpur pada 1818 yang dibuka dan diasaskan oleh Sutan Naposo. Sutan Naposo menjalankan aktiviti mendulang bijih timah di tempat pertemuan 2 buah sungai iaitu Sungai Gombak dan Sungai Kelang dan sekaligus membuka sebuah kampung dan penempatan orang-orang Mandailing yang bernama Muara Bustak sempena air sungai yang menjadi keruh dan berlumpur akibat dari aktiviti perlombongan dan mendulang bijih timah di sana.

‘It might be the upper reaches of the Gombak River, which joins the Klang River, to produce the kuala (of Kuala Lumpur).’ (7) – Gullick 2000.

Mengikut John Anderson, kampung yang bernama Lumpur tersebut merupakan sebuah kampung perlombongan bijih timah yang diasaskan oleh orang-orang Sumatera.


Gambar 3 – Sutan Naposo @ Sutan Puasa

Pengasas dan Pembangun Kuala Lumpur

‘The name of a small but important village a centre of Sumatran tin mining.’ (3) – Gullick 2000.

Ini membuktikan bahawa jauh sebelum kedatangan Raja Abdullah bin Raja Jaafar ke Ampang pada 1857, Sutan Naposo dan orang-orang Mandailing telah lama wujud dan memulakan aktiviti perlombongan bijih timah di Kuala Lumpur.

Ini juga bertentangan dengan pendapat yang menyatakan bahawa Yap Ah Loy membuka Kuala Lumpur sedangkan dia sendiri merupakan Kapitan Cina yang ketiga dan bukannya Kapitan Cina yang pertama di Kuala Lumpur. Malahan pelantikan Hiew Siew sebagai Kapitan Cina Pertama pada 1861 dan Yap Ah Loy sebagai Kapitan Cina Ketiga pada 1868 hanya dapat dijalankan setelah mendapat restu dan kebenaran Sutan Naposo. (19 & 38) – Middlebrook dan Gullick.

SUTAN NAPOSO WARIS NEGERI

‘Sutan Puasa, the leading Sumatran trader of Kuala Lumpur, and of the Waris Negri, the local Malay landowners, from whom the Chinese rented their mining land.’ (29) – Middlebrook dan Gullick.

Oleh kerana Sutan Naposo merupakan orang pertama yang tiba lalu membuka dan mengasaskan Kuala Lumpur, maka beliau dianggap oleh raja-raja Bugis, orang-orang Bugis dan orang-orang Melayu pada masa itu serta orang-orang Cina yang datang kemudiannya sebagai Waris Negeri yang membawa pengertian tuan tanah dan pemilik kawasan berkenaan.

Pengertian Waris Negeri di sini adalah

a. orang yang dianggap sebagai pembuka sesuatu penempatan atau kawasan

b. orang yang dianggap sebagai pemilik tanah atau tuanpunya tanah di sesuatu kawasan yang berhak untuk menyewakan tanah tersebut kepada sesiapa sahaja

c. orang yang dianggap sebagai ketua, pemimpin dan penguasa tempatan yang berkuasa penuh ke atas sesuatu kawasan atau tempat mengikut kelaziman dan adat resam di situ.

d. orang yang menjadi tempat rujukan dalam segala permasalahan yang berlaku di kawasan atau tempat berkenaan

e. orang yang dianggap boleh menaiki takhta kerajaan

Lantaran itu apabila Sutan Naposo digelar dan diperakui sebagai seorang Waris Negeri, maka jelas sekali beliau adalah pengasas Kuala Lumpur.

‘Waris-Waris, or Waris Negri, the heirs of the country.’ (146) - Burns (The Journals of J.W.W. Birch)

‘In Selangor there is no established hierarchy of title holders and districts were governed by members of the royal household.’ (7) – Tugby.

Dari segi sejarahnya negeri Selangor pada masa itu sebenarnya belum lagi wujud sebagai satu kerajaan besar yang bersempadankan Sungai Bernam di bahagian utara untuk memisahkan Selangor dan Perak, bersempadankan Sungai Sepang di bahagian selatan untuk memisahkan Selangor dan Negeri Sembilan, apatah lagi menggunakan Banjaran Titiwangsa untuk memisahkan Selangor dan Pahang.

Di dalam sumpah Palapa Gajah Mada yang merupakan sebuah syair di dalam kitab Nagarakertagama yang ditulis oleh Mpu Prapanca semasa ekspedisi penaklukan kerajaan Jawa Mojopahit ke atas negeri-negeri Melayu pada sekitar tahun 1365 ada mencatatkan bahawa Kelang pada masa itu telah wujud sebagai satu kampung yang kecil.

Sejak zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka lagi, kawasan-kawasan di negeri Selangor telah lama wujud sebagai beberapa buah kampung di kuala-kuala sungai yang tunduk kepada kekuasaan kerajaan Melayu Melaka seperti Kelang, Jeram, Langat dan Kuala Selangor.

Malahan Bendahara Paduka Raja Tun Perak dari Melaka dikatakan pernah dilantik sebagai Penghulu di kampung yang bernama Kelang. Semasa serangan kerajaan pertama Siam ke atas Melaka yang pada masa itu diperintah oleh Sultan Muzaffar Shah (1445-1458), Tun Perak diberitakan telah membawa ramai penduduk Kelang untuk datang membantu mempertahankan kerajaan Melayu Melaka dari serangan tersebut. Atas jasa beliau itu, Tun Perak dilantik sebagai Bendahara Melaka yang bergelar Bendahara Paduka Raja Tun Perak. Semasa zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah (1459-1477) di Melaka pula, salah seorang putera baginda dengan Permaisuri Hang Li Po dikatakan dibawa ke Jeram untuk ditabalkan di sana.

Selepas kejatuhan kerajaan Melayu Melaka, kampung-kampung di kuala-kuala sungai itu tunduk pula kepada kekuasaan kerajaan Melayu Johor. Tidak pernah Selangor wujud sebagai sebuah kerajaan yang bersempadan seperti yang ada pada hari ini.

Pada awal kurun ke 17, ramai orang Bugis Bone yang merantau dari Pulau Sulawesi datang berhijrah ke kuala-kuala sungai di Kelang, Jeram, Langat dan Kuala Selangor. Oleh kerana terlalu ramainya orang-orang Bugis di Kuala Selangor, maka seorang ketua orang-orang Bugis di Kuala Selangor pada masa itu diangkat menjadi Yam Tuan Selangor. Yam Tuan Selangor pada masa itu bernama Arong Pasarai. Namun begitu Arong Pasarai @ Yam Tuan Selangor terpaksa mendapatkan restu Tok Engku Kelang yang menetap di Kelang sebagai Waris Negeri Kelang sebelum beliau diangkat sebagai Yam Tuan Selangor. Tok Engku Kelang selain daripada memberikan restu, beliau juga memberikan cop mohor kerajaan kepada Arong Pasarai untuk mentadbir negeri yang baru tersebut.

Pada 4 Ogos 1681, adik Sultan Kedah pada masa itu dikatakan telah meminta kebenaran dari pihak penjajah Belanda untuk menggunakan sebuah pulau di Dinding yang kini dikenali sebagai Pulau Pangkor untuk menempatkan 150 tentera upahan Bugis yang dibawa dari Kelang untuk menyerang abangnya di Kedah. Pada bulan Jan 1682 pula, adik Sultan Kedah itu dikatakan telah meminta kebenaran dari pihak penjajah Belanda untuk menggunakan Pulau Pangkor bagi menempatkan 2 buah kapal dan 300 tentera upahan Bugis untuk menyerang Kedah. (6) – Buyong Adil 1971.

Pada tahun 1685, penjajah Belanda telah memberi amaran kepada kerajaan Melayu Johor agar jangan mengganggu kampung-kampung di Kelang, Kuala Selangor dan Sungai Ujung.

Pada masa inilah putera-putera Bugis Bone Lima Bersaudara iaitu Daeng Parani, Daeng Chelak, Daeng Menambun, Daeng Merewah dan Daeng Kemasi datang ke kuala-kuala sungai ini secara kerap dan berkeluarga di sana. Namun begitu sehinggalah pada tahun 1756, seorang dari putera Yam Tuan Muda II Daeng Chelak yang bernama Raja Lumu diangkat oleh orang-orang Bugis di kuala-kuala sungai itu menjadi raja yang memerintah sebuah kerajaan yang bernama Selangor.

Namun hanya pada tahun 1770, Raja Lumu diiktiraf sebagai Yang Dipertuan Besar Selangor yang bergelar Sultan Salehuddin setelah menerima pertabalan dari Sultan Perak pada masa itu Sultan Mahmud Shah. Sultan Salehuddin juga dikahwinkan dengan anak saudara kepada Sultan Mahmud Shah.

Maka muncullah sebuah kerajaan di tepi laut yang bernama Selangor yang wujud dari gabungan beberapa buah kampung di kuala-kuala sungai iaitu Kuala Bernam, Kuala Selangor, Kuala Jeram, Kuala Kelang dan Kuala Langat.

Pada tahun 1804, Sultan Ibrahim Shah dan tentera Bugis telah menyerang dan menawan sebahagian dari negeri Perak. Akibatnya pada 1806, Sultan Ibrahim Shah telah mengistiharkan bahawa wilayah dari kuala Sungai Perak sehingga ke Sungai Pelus adalah sebahagian dari tanah jajahan Selangor. Namun perkara ini telah ditentang oleh kerajaan Perak dan permasalahan ini telah berlarutan sehingga berlakunya peperangan. Namun pada kali ini Perak berjaya mempertahankan wilayah kerajaannya. (31) – Buyong Adil 1971.

Perebutan wilayah di antara kerajaan Perak dan kerajaan Selangor ini berlarutan sehinggalah satu pihak asing dijemput untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Pada 10 Ogos 1825, Governor Fullerton dari Pulau Pinang telah menghantar pegawainya John Anderson untuk mengadakan perundingan dengan Sultan Ibrahim Shah di Kuala Selangor mengenai permasalahan sempadan Perak dan Selangor. Hasil dari pertemuan tersebut maka pada 20 Ogos 1825, kerajaan British dan kerajaan Bugis Selangor telah bersetuju dan menandatangani perjanjian untuk menjadikan Sungai Bernam sebagai sempadan di antara negeri Perak dan negeri Selangor. Pada 6 Sep 1825 pula, pihak British telah membuat perjanjian yang sama dengan negeri Perak. Ternyata orang-orang Inggerislah yang menentukan sempadan di antara negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu dan bukannya ditentukan oleh sultan-sultan Melayu itu sendiri. (39) – Buyong Adil 1971.

Namun demikian di tempat-tempat lain, wilayah Selangor itu hanyalah tertakluk kepada kuala-kuala sungai di Kuala Bernam, Kuala Selangor, Kuala Jeram, Kuala Kelang dan Kuala Langat. Manakala kawasan-kawasan di hulu sungai dan di kawasan pendalaman, tanah-tanah tersebut dianggap sebagai hak milik bebas kerana belum ada satu sempadan tetap untuk negeri Selangor dan daerah-daerahnya di pendalaman.

‘The state of Selangor extended, until 1880, from Bernam in the north to the mouth of the Linggi in the south. Most of its Malay population (only 5,000 in 1820) lived along the coast at the river estuaries, of which there were five – Bernam, Selangor, Klang, Langat and Lukut – and the trade with the interior passed up and down the rivers. Each river mouth was a natural centre of government and Selangor was five states in one.’ (5) - Middlebrook dan Gullick.

‘Between Perak and Selangor, and between Perak and Patani, there are questions of boundaries which the natives have confessed themselves unable to settle...’ (334) – Burns (The Journals of F.A. Swettenham).

Jelas pada masa itu negeri Selangor tidak mempunyai sebarang undang-undang atau sistem hakmilik yang bertulis yang memberikan hak atau geran yang menyatakan tanah yang diterokai itu adalah kepunyaan seseorang individu. Peraturan pada masa itu berdasarkan kelaziman kuasa yang tertakluk kepada ketua-ketua tempatan yang terdapat di kawasan berkenaan. Lantaran itu sesiapa sahaja yang membuka sesebuah kawasan, penempatan atau perkampungan, maka dialah yang berkuasa dan berhak ke atas tanah tersebut.

‘The indigenous Malay peasant had usufructuary rights over unused land. He could clear virgin forest or secondary forest which had grown up on abandoned plots and make use of the land. If he continued to use the land, he gained a propriety right over it.’ (11) – Tugby.

Permasalahan ini tidaklah menghairankan kerana raja-raja pada zaman dahulu sebenarnya tidak mempunyai atau menetapkan sempadan negeri yang sebenarnya. Dengan kata lain, mereka hanya menggunakan tanggapan am bahawa kampung-kampung tertentu menjadi sempadan negeri mereka.

‘...the Sultan not even knowing what his boundaries were.’ (262) – Burns (The Journals of F.A. Swettenham)

Sistem ini sekaligus meletakkan Sutan Naposo sebagai Waris Negeri yang membawa pengertian pemilik tanah di tempat tersebut dan merupakan pewaris kawasan berkenaan yang berhak memberikan tanah dan menyewakan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Ini selaras dengan adat dan kelaziman orang Melayu dahulukala di mana mereka yang membuka kampung itu secara sendirinya diperakui sebagai pemilik tanah kawasan tersebut. Pada zaman itu selain daripada anak-anak raja Bugis, kerabat raja Bugis dan pembesar-pembesar Bugis, Waris Negeri dibenarkan mengutip cukai sebagai pemilik tanah tempatan serta mengambil pajak atau sewa dari tanah berkenaan.

‘As in other Malay states custom required that succession be from one of the Waris Negri (heirs of the state) ...’ (xvii) – Burns (The Journals of F.A. Swettenham)

Kedudukan seorang Waris Negeri sebagai tuanpunya dan pewaris sesebuah kawasan, perkampungan dan penempatan pada masa itu mengangkat Waris Negeri sebagai seorang pewaris yang layak menggantikan sultan di sesebuah negeri. Dengan kata lain, Sutan Naposo sebagai Waris Negeri Kuala Lumpur adalah berkuasa penuh ke atas penempatan beliau di Kuala Lumpur.

Beberapa peristiwa lain di dalam sejarah Tanah Melayu juga membuktikan betapa tingginya kedudukan seorang Waris Negeri. Pada tahun 1528, Sultan Perak yang pertama iaitu Sultan Muzafar Shah terpaksa meminta sokongan dan restu daripada Tok Telemong sebagai Waris Negeri yang telah lama bermastautin di situ, semasa mahu membuka kerajaan baru yang bernama Perak, sebagai satu adat resam menghormati orang yang membuka dan menduduki lebih awal kawasan berkenaan. Ini merupakan satu pengakuan hak kepada mereka yang lebih awal menempati kawasan tersebut.

Pada tahun 1800, Lukut dibuka oleh Raja Busu. Maka itu Raja Busu merupakan Waris Negeri di situ. Itulah sebabnya semasa Raja Busu menjalankan perlombongan dan perniagaan bijih timah di sana, beliau tidak membayar sebarang ufti ataupun cukai kepada Sultan Selangor ketika itu iaitu Sultan Ibrahim Shah. Ini menunjukkan betapa Waris Negeri ketika itu berhak untuk tidak menyerahkan hasil pendapatan yang diperolehi dari sesuatu kawasan yang dibuka olehnya kepada sesiapa sahaja.

‘The sultan had to consult the chiefs and Waris Negeri on matters of state.’ (7) – Tugby. Kenyataan ini membuktikan betapa besar dan tingginya kedudukan seorang Waris Negeri sebagai pembuka, pengasas dan penguasa sesebuah kawasan, perkampungan dan penempatan pada masa itu.

Itulah sebabnya Sutan Naposo tidak pernah membayar ufti ataupun cukai kepada Sultan Selangor. Memang adat seorang Waris Negeri, apabila mengambil barang di dalam kawasan pegangannya, dia tidak perlu membayarnya. Mengikut kenyataan Haji Abdullah Hukum, Sutan Naposo pada masa itu boleh mengambil apa-apa barang di kedai Cina tanpa perlu dibayar. (II:2) – Adnan Haji Nawang. Ini menunjukkan Waris Negeri itu mempunyai kuasa mutlak yang tidak boleh dipersoalkan di dalam kawasan pegangannya.

Begitu juga dengan peristiwa pemilihan Yap Ah Loy sebagai Kapitan Cina yang ketiga pada tahun 1868 di mana Kapitan Cina Kedua pada masa itu iaitu Liew Ngim Kong telah mengadap Sutan Naposo sebagai Waris Negeri Kuala Lumpur bagi meminta restu, persetujuan dan pengesahan dari beliau.

‘Having reached their decision the next step was to get the support of Sutan Puasa...’ (29) - Middlebrook dan Gullick.

Kenyataan ini sekaligus membuktikan bahawa Sutan Naposo adalah tuanpunya Kuala Lumpur dan merupakan pembuka bandar tersebut. Itulah hakikat yang sebenarnya.

Seandainya Raja Abdullah yang membuka Kuala Lumpur atau Ampang serta menjadi orang yang dianggap berkuasa penuh di situ, tidak mungkin Liew Ngim Kong sebagai pemimpin orang-orang Cina akan merujuk kepada seorang manusia yang bernama Sutan Naposo sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pelantikan Yap Ah Loy sebagai Kapitan Cina yang ketiga di Kuala Lumpur. Malahan Liew Ngim Kong sendiri tidak pernah merujuk kepada Sultan Abdul Samad yang merupakan Sultan Selangor ketika itu atau mana-mana raja di luar Kuala Lumpur. Ini menunjukkan yang mempunyai hak dan yang berkuasa penuh di Kuala Lumpur adalah Sutan Naposo.

Laporan W.S. Cracroft 1818 dan John Anderson 1824 hanya memperkukuhkan lagi kedudukan Sutan Naposo sebagai pembuka Kuala Lumpur dan bertepatan dengan kedudukannya sebagai Waris Negeri yang juga merupakan ketua, pemimpin dan penguasa tempatan yang membawa erti tuan tanah serta pemilik kawasan Kuala Lumpur


No comments:

Post a Comment